MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
(UMNO
Convention 2000: A Year Of Living Dangerously ~ MGG Pillai)
Persidangan tahunan UMNO yang
berlalu sudah menggugat seorang presiden yang telah menerajui parti itu sejak 19
tahun yang lalu. Sekaligus hidupnya akan penuh pancaroba. Seramai 2,018 perwakilan yang
hadir telah merasa jelak dan meluat dengan caranya memperlekehkan mereka sambil meneruskan
agenda untuk menyerang PAS dan menyerang tanpa henti bekas timbalannya Dato Seri Anwar
Ibrahim. Bahkan, cara dia mengkotak-katikkan upacara pemilihan ahli Majlis Tertinggi telah
mengundang kejengkelan mereka hingga memaksa beliau bertukar rupa menjadi seekor itik tempang. Keangkohannya dan ucapan yang bertujuan untuk memenuhi agenda tersendiri
telah mengakibatkan satu suasana di mana para perwakilan disogok untuk akur dengan agenda
beliau menangani masalah bangsa Melayu dan juga Islam.
Di hari akhir persidangan itu
dia telah menunjukkan kepintarannya berkelentong lagi. Kali itu dia berlagak berlemah
lembut dengan tujuan untuk menarik sokongan dan kepercayaan akar umbi. Sebenarnya dia
memang tidak suka dengan sikap begitu dan ini bukan lagi menjadi satu perkara yang rahsia.
Kerana itu bekas setiausaha politik beliau telah melanggar fatwa beliau dan telah
mencalonkan tiga orang naib presiden yang diketahui tidak akan menyokongnya kalau
berlaku sesuatu petaka. Namun, kalau kucing mampu bertanduk satu hari nanti apakah tidak
mungkin seorang Perdana Menteri berpura-pura kasih akan rakyatnya ?
Jelas sekali
Dato Seri Mahathir Mohammad sudah tersilap congak. Dia sudah lama tidak bermesra dengan
rakyat dan juga masalah dalaman parti. Memang itulah caranya kalau seseorang itu sudah di kelilingi
oleh para kroni, jongos dan segala bentuk puji-pujian yang dikendalikan oleh
agensi kerajaan sehinggakan dia percaya bahawa dia seorang pemimpin yang maksum. Dia
mahukan sebuah Majlis Tertinggi yang dapat dikotak-katikkannya. Dengan itu dia mahu
mengubah perundangan parti terhadap sebarang tentangan kepada jawatannya. Kaedah
yang sama mahu diperluaskan kepada jawatan yang disandang oleh Paklah, menunggukan masa
sesuai untuk dia mencari pengganti yang lebih sempurna lagi. Sikapnya yang angkuh dan
gelojoh telah mencerminkan keadaan sebenar UMNO dan kerajaannya. Inilah keadaan mereput
dari dalam.
Dato Seri Mahathir telah berucap di hari pembukaan persidangan selama 105 minit. Dia telah bercakap panjang untuk mengganyang PAS. Dua puluh (20) minit
dihabiskan untuk mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Di waktu yang sama dia telah memuji-muji
Tun Daim Zainuddin dan Menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Gelagatnya inilah
yang telah membawa padah. Para perwakilan bertindak untuk memilih calon-calon yang mereka tahu
tidak disenangi oleh Mahathir. Jawatan tiga timbalan presiden telah dimenangi oleh Dato
Seri Najib Tun Razak (Menteri Pertahanan); Tan Seri Muhammad Taib (seorang ahli politik
yang kaya-raya dan tidak ada jawatan dalam kerajaan); Tan Sri Muhyiddin Yassin,
(Menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna). Ketiga tokoh ini pernah dilantik ke jawatan yang sama pada 1993 dulu dan dikenal sebagai pasukan Tim Wawasan pimpinan Dato Seri Anwar
Ibrahim. Ada dua orang lagi yang telah melompat keluar daripada Tim Wawasan ini: Tan Sri
Abdul Rahim Tabby Chik, bekas Ketua Menteri Melaka dan Dato Seri Megat Junid Megat Ayob.
Mereka berdua telah kalah dalam pencalonan. Di antara tiga orang naib presiden parti itu
memang terdapat seorang yang dianggap orang Mahathir. Tetapi,
perangainya yang tidak menentu sehinggakan dia tidak difikirkan sesuai menjadi seorang
perdana menteri.
Korupsi dan penggunaan wang dalam politik memang menjadi tajuk
utama Mahathir, tetapi kalau perkara itu mengenai para penentangnya. Cara dia memuji
Tun Daim kerana khidmatnya yang cemerlang memang mudah disanggah. Sebagai seorang yang
tidak dipilih secara rasmi, Daim menjadi Bendahari UMNO setelah khazanah parti lesap
dan diserap oleh syarikat miliknya, sebaik sahaja UMNO diharamkan. Malahan ada satu lagi
nama yang tidak tercatat di mana-mana tetapi orang itu yang bernama Tan Sri Halim Saad
merupakan pemegang proksi Tun Daim. Semua kegelojohan ini sudah menjadi satu kemelut
yang tidak disenangi oleh akar umbi parti masa kini.
Namun demikian, khazanah
negara masih lagi diselewengkan melalui Dana modal dan Dana harta untuk memulihkan beberapa
syarikat yang diketahui bersangkutan dengannya. Halim tidak merupakan seorang saja insan
yang bertuah dalam segi ini. Perdana Menteri mempunyai beberapa orang lagi ahli korporat
yang disayanginya. Mereka ini mengambil setiap peluang untuk menutup kerugian perniagaan
mereka dengan menjual harta syarikat kepada kerajaan dan memulakan perniagaan baru pula.
Ada pula puak lain yang sanggup mencuba nasib menghadapi mahkamah dalam kes kemuflisan
mereka.
Tun Daim mahu melepaskan jawatannya sedangkan Mahathir masih tidak bersedia
untuk beliau berbuat demikian. Inilah yang membuatkan pasaran saham sentiasa bergelora.
Kedua-dua manusia ini sudah tidak lagi mepercayai satu sama lainnya dan perkara ini bukan
lagi satu rahsia di kalangan dunia perniagaan.
Akhirnya perwakilan UMNO telah
menolak pujukan rayu Perdana Menteri dan memilih satu kumpulan mengandungi 12 ahli parti
yang diketahui memang tidak serasi dengan beliau. Paklah pula membuat
percaturan sendiri dengan menyebelahi Tan Sri Muhyiddin dan Dato Seri Shahril Samad
seolah-olah ada satu pakatan pula. Ini membayangkan kemungkinan Muhyiddin dilantik sebagai
timbalan kepada Paklah kalau beliau menggantikan Mahathir. Shahril Samad pula
dibayangkan sebagai tokoh yang akan menjadi Menteri Besar Johor. Perdana Menteri
semakin tertekan apabila mendapati ada satu blok yang kuat yang diketahui berpihak kepada
Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja di Majlis Tertinggi parti malahan juga dalam
majlis pergerakan wanita dan pemuda UMNO.
Teka-teki seperti ini akan berterusan
walaupun Perdana Menteri cuba bermadah perihal kesatuan bangsa Melayu. Inilah kemelut yang
akan terus menghantuinya selagi dia tidak menyelesaikan masalah yang asas sekali. Inilah
masalah yang membabitkan nasib seorang banduan VIP di Sungai Buloh yang memerlukan satu
penyelesaian yang bijaksana betapa kemelut itu akan ditangani.
Pemimpin
pergerakan wanita yang baru Dato' Seri Rafidah Aziz telah menyingkirkan setiap pemimpin yang berpihak kepada Siti Zaharah Suleiman. Selepas itu barulah dia berucap akan hal
penyatuan dan perihal merapatkan barisan pergerakan itu kembali. Pada tahun 1996 ketika
Siti Zaharah memenangi jawatan ketua wanita pergerakan itu dia telah menghentikan khidmat
para penyokong Rafidah. Perdana Menteri telah campur tangan dan menyuroh dihenti sikap
itu. Tetapi kali ini perdana menteri mengambil sikap membisu seribu bahasa.
Cara-cara
memimpin parti dengan berpaksikan dwi-standard inilah yang menyakitkan hati perwakilan.
Politik wang terus berleluasa. Bungkusan wang diagihkan sebelum dan selepas pengundian
kepada para perwakilan oleh para penyokong calon, terutama sekali setelah calon itu
menang. Budaya UMNO sudah merupakan budaya rasuah dan politik wang. Walaupun pada kali ini
gelagat itu tidak berapa ketara seperti yang lalu, budaya itu masih subur lagi. Pada
peringkat awal UMNO mahu menyediakan kemudahan konferensi-video kepada kawasan di luar
Kuala Lumpur. Perkara ini terbantut apabila dirasai lintas langsung yang memuatkan ucapan
Perdana Menteri pun tidak mendapat sambutan yang luas di merata negara. Kemudian UMNO mahu
beberapa ahli korporat UMNO mengongkosi kemudahan konferensi video itu. Kalau UMNO di
pihak paling tinggi sanggup melakukan kerja-kerja terkutuk itu apakah yang dihairankan
kalau perkara sama berlaku pada tahap cawangan dan bahagian parti?
Sejak
penubuhan parti, presiden UMNO memang berupaya mempengaruhi suasana
persidangan. Di zaman Mahathir dia telah berjaya mewujudkan satu sistem kasta yang
memisahkan golongan atasan yang menganggotai Majlis Tertinggi daripada golongan marhaen.
Mereka bersua muka dengan golongan marhaen ini bila merasakan keperluannya.
Selalunya suasana itu dilakukan ketika jamuan makan malam dengan para perwakilan. Mahathir
tidak bergaul rapat dengan para perwakilan melainkan dalam satu majlis yang dapat
dikawalnya. Dia lebih berminat bergaul dengan para diplomat dan para juaknya yang
menggerakkan dunia politik dan bisnes. Para diplomat memang diberikan layanan yang baik.
Tetapi kalau kereta mereka ataupun kenderaan kepunyaan para pembantu mereka didapati
diletakkan berhampiran pejabat PAS ataupun DAP, Wisma Putra akan bertindak cepat dan membantah
terhadap campur-tangan asing dalam politik negara. Kemelut yang dihadapi UMNO masa kini ialah wujudnya sistem kasta ini yang telah meminggirkan para pemimpin kepada
keadaan sebenar akar umbi.
Perdana Menteri memang sudah mula menghadapi
zaman pancarobanya. Sepatutnya dia mampu merancang sesuatu yang dapat mengikis
sebarang sikap dendam. Tetapi dia masih lagi dihantui sikap mengaibkan bekas
anak-didik dan juga bekas timbalannya. Inilah agenda pertama beliau. Yang lain tidak
merupakan satu keutamaan padanya. Caranya itu memang mudah difahami kerana dia memang amat
pintar dengan kaedah itu. Sebaliknya pula, Dato' Seri Anwar sedang cuba melawan segala
dakyah itu untuk menyelamatkan nyawa dan karya politiknya. Itulah juga cara Mahathir
melawan Tunku Abdul Rahman Putra selepas rusuhan 13 Mei 1969 dulu.
Mahathir tidak
boleh mengelat lagi akan peranannya sambil beliau mengingkari sapina yang dikeluarkan oleh
mahkamah. Episod Anwar Ibrahim adalah satu titik hitam dalam perjuangan UMNO dan perkara
ini sudah pun diakui oleh para perwakilan. Yang lebih penting lagi, masyarakat Melayu sudah
semakin marah. Kemelut yang membabitkan Dato Seri Anwar sedang
menghantui UMNO. Para perwakilan telah menendang bola ke arah kaki Mahathir untuk dia
mengeleceknya sambil mereka memerhatikan sahaja dari tepi padang tanpa ambil pusing akan
dilema yang sedang dihadapinya. Yang anihnya mereka memang seronok memerhatikan
gelagatnya itu.
Diterjemahkan oleh -MT-
24 Mei, 2000.
|